Floating Icon
15 JUL 2024 PEMAKANAN & KESEJAHTERAAN 6 MINIT BACA 164 LIHAT 13 BERKONGSI

6 “Makanan Otak” Untuk Kesihatan Otak

Dalam dunia yang serba pantas hari ini, mengekalkan kesihatan otak menjadi semakin penting. Ketika kita membahagikan masa antara kerja, keluarga dan komitmen lain, mudah untuk terlepas pandang kepentingan menyuburkan otak untuk menyokong fungsi kognitif dan kesejahteraan keseluruhan. Oleh itu, kita perlu melihat makanan yang kita makan setiap hari kerana ia mempunyai kesan langsung terhadap kesihatan otak.

Mujurlah, makanan tertentu telah ditunjukkan mengandungi nutrien dan sebatian penting yang menyokong, malah merangsang kesihatan otak. Dalam artikel ini, kami akan meneroka enam kumpulan makanan utama yang juga dikenali sebagai “makanan otak”, yang diketahui boleh menyuburkan minda, meningkatkan prestasi kognitif dan meningkatkan kesihatan otak kita secara keseluruhan.



1. Ikan Berlemak

More than 50% of our brain consists of fat, and half of that fat comprises omega-3 fatty acids, that’s why we need to ensure our diet contains fatty fish.jpg

Tahukah anda bahawa lebih daripada 50% otak kita terdiri daripada lemak dan separuh daripada lemak itu terdiri daripada asid lemak omega-3? Itulah sebabnya kita perlu memastikan yang diet kita mengandungi ikan berlemak atau berminyak seperti salmon, ikan kembung, ikan bilis dan sardin yang kaya dengan sumber asid lemak omega-3, terutamanya EPA (asid eikosapentaenoik) dan DHA (asid dokosaheksaenoik).

Nutrien penting ini memainkan peranan yang sangat penting sebagai blok binaan otak dalam meningkatkan fungsi otak, menyokong fungsi kognitif dan mengurangkan risiko penurunan kognitif. Menggabungkannya dalam diet anda, sama ada digril, dikukus atau dihidangkan dalam kari ikan yang enak adalah cara hebat untuk menyokong fungsi otak yang optimum.



2. Kopi dan Teh

Coffee & tea are known for their ability to provide a mental boost by improving alertness, performance, memory and focus.jpg

Kopi dan teh ialah minuman yang digemari di Malaysia, terkenal dengan keupayaannya untuk memberikan rangsangan mental dengan merangsang kewaspadaan, prestasi, memori dan fokus, sama ada untuk memulakan hari atau bangkit daripada kelesuan selepas makan tengah hari. Kedua-dua minuman ini mengandungi kafein dan antioksidan, sebatian bermanfaat yang telah ditunjukkan boleh menambah baik tumpuan, fungsi kognitif dan menyokong kesihatan otak secara keseluruhan.

Selain itu, teh terutamanya teh hijau, kaya dengan antioksidan yang dipanggil katekin yang boleh membantu melindungi sel-sel otak daripada kerosakan otak, termasuk kemerosotan mental dan mengurangkan risiko penyakit neurodegeneratif. Nikmati secawan kopi atau teh sebagai sebahagian daripada rutin harian anda untuk meningkatkan kewaspadaan dan menyokong kesihatan otak, terutamanya apabila dinikmati dengan sedikit atau tanpa gula tambahan.



3. Herba dan Rempah-ratus

Herbs and spices like turmeric, ginger and lemongrass not only enhance the taste of Malaysian dishes but also offer a range of health benefits.jpg

Masakan Malaysia terkenal dengan pelbagai rasanya, sebahagiannya hasil penggunaan herba dan rempah-ratus seperti kunyit, halia dan serai. Bahan-bahan aromatik ini bukan sahaja meningkatkan rasa hidangan Malaysia tetapi juga menawarkan pelbagai manfaat kesihatan.

Contohnya, kunyit mengandungi kurkumin, sebatian dengan sifat antiradang dan antioksidan berkuasa yang boleh membantu melindungi daripada penyakit neurodegeneratif seperti Alzheimer.

Ketahui lebih lanjut tentang bagaimana anda boleh memasukkan rempah-ratus tempatan dalam masakan dan mengamalkan diet Malaysia yang lebih sihat daripada siri artikel kami yang diterbitkan sebelum ini bertajuk Diet yang Lebih Sihat untuk Rakyat Malaysia.



4. Sayur-Sayuran Berdaun Hijau

Green leafy vegetables such as spinach, kale and water spinach (kangkung) are nutritional powerhouses that offer a wide range of health benefits.jpg

Sayur-sayuran berdaun hijau seperti bayam, kubis kerinting dan kangkung merupakan sayur-sayuran tinggi nutrisi yang menawarkan pelbagai manfaat kesihatan, termasuk menyokong kesihatan otak.

Sayur-sayuran ini kaya dengan vitamin, mineral dan antioksidan yang membantu mengurangkan keradangan, melindungi daripada tekanan oksidatif, memerangi radikal bebas, dan menyokong pertumbuhan sel-sel otak baru. Sama ada dinikmati mentah dalam salad, ditumis sebagai hidangan sampingan atau dikisar menjadi smoothie, sayur-sayuran berdaun hijau adalah tambahan yang serba boleh dan berkhasiat dalam sebarang diet.



5. Kekacang dan Biji-bijian

Almonds, walnuts, pumpkin seeds, and chia seeds are rich in vitamins, minerals, healthy fats, and antioxidants that support cognitive function.jpg

Kekacang dan biji-bijian ialah makanan otak yang tinggi protein, yang diperlukan untuk menyokong neuron berkomunikasi antara satu sama lain dan sangat penting untuk menyediakan pelbagai manfaat kesihatan otak.

Badam, walnut, biji labu dan biji chia amat kaya dengan vitamin, mineral, lemak sihat dan antioksidan yang menyokong fungsi kognitif dan melindungi sel-sel otak daripada kerosakan yang boleh mengakibatkan hilang ingatan atau kabut otak.

Dinikmati sebagai snek, ditabur di atas salad atau dicampur dalam smoothie, kekacang dan biji-bijian menawarkan cara yang mudah dan berkhasiat untuk rakyat Malaysia yang sibuk untuk merangsang kesihatan otak mereka.



6. Buah-buahan yang Kaya dengan Vitamin C

Vitamin C-rich fruits such as oranges, strawberries, guavas and kiwis are not only delicious but also beneficial for brain health.jpg

Buah-buahan yang kaya dengan vitamin C seperti oren, strawberi, jambu batu dan kiwi bukan sahaja lazat tetapi juga bermanfaat untuk kesihatan otak. Vitamin C merupakan antioksidan berkuasa yang membantu melindungi sel-sel otak daripada kerosakan yang disebabkan oleh radikal bebas. Menambahkan buah-buahan ini dalam diet anda, sama ada ia segar, dibuat jus atau dalam smoothie boleh membantu menyokong kesihatan otak secara keseluruhan.

Secara ringkasnya, menyertakan makanan yang merangsang otak dalam diet anda tidak perlu rumit. Dengan menikmati pelbagai jenis makanan padat nutrien yang kaya dengan asid lemak omega-3, antioksidan, vitamin dan mineral seperti enam “makanan otak” yang disyorkan ini sebagai sebahagian daripada diet seimbang, anda boleh menyuburkan kesihatan otak, menyokong fungsi kognitif dan meningkatkan kesejahteraan keseluruhan.




Rujukan:

  1. Dighriri, I. M., Alsubaie, A. M., et al. (2022). Effects of Omega-3 Polyunsaturated Fatty Acids on Brain Functions: A Systematic Review. Cureus, 14(10), e30091.
  2. Dietz, C., & Dekker, M. (2017). Effect of Green Tea Phytochemicals on Mood and Cognition. PMID: 28056735.
  3. Reddy, P. H., Manczak, M.A., et al. (2018). Protective Effects of Indian Spice Curcumin Against Amyloid-β in Alzheimer's Disease. Journal of Alzheimer's Disease, PMID: 29332042. PMCID: PMC5796761.
  4. Nishi, S. K., Sala-Vila, A., Julvez, J., Sabaté, J., & Ros, E. (2023). Impact of Nut Consumption on Cognition across the Lifespan. Nutrients, 15(4), 1000.
  5. Travica, N., Ried, K., et al. (2019). Plasma Vitamin C Concentrations and Cognitive Function: A Cross-Sectional Study. Frontiers in Aging Neuroscience, 11, 72.


Artikel ini disumbangkan oleh

Georgen Thye, Pakar Perunding Diet

BSc. (Hons.) Nutrition and Dietetics, IMU

Ahli Majlis Persatuan Dietitian Malaysia (2021-2023)