Floating Icon
27 SEP 2023 ACARA 2 MINIT BACA 187 LIHAT 0 BERKONGSI

Pelayaran Penuh Keraian Menyusuri Alaska

2023 merupakan tahun kita berjaya memulakan semula Seminar Kepimpinan Amway (ALS). Selain meraikan pencapaian dan ketabahan Pemimpin kita, acara ini merupakan peluang bagi mereka berhubung semula antara satu sama lain apabila memulakan pelayaran yang cukup luar biasa untuk meneroka keindahan Alaska yang begitu ajaib.

ALS kali ini diatur lebih istimewa memandangkan Amway menjadi tuan rumah salah satu daripada acara yang mempunyai penyandang teramai – sejumlah 1,346 orang penyandang. Oleh itu, para penyandang ini akan bergerak dalam dua kumpulan. Pengembaraan Alaska kami bermula dengan sambutan yang hangat, diiringi dengan minuman yang menyegarkan dan ucapan penuh inspirasi daripada Mike Duong, Pengarah Urusan Amway Malaysia, Brunei dan Indonesia, di atas kapal persiaran; Ovation of the Seas.

Kumpulan pertama telah berlayar merentasi Lautan Pasifik Utara menuju ke Sitka yang terkenal dengan budaya Tlingit dan peninggalan warisan Rusia yang menakjubkan. Mereka dapat menikmati pengembaraan berkayak sambil menerokai kecantikan Sitka National Historic Park dan merasai sendiri layanan warga Alaska di Alaska Bear and Silver Bay Homestead Experience, antara aktiviti yang tidak dapat dilupakan.

Manakala kumpulan kedua Pemimpin pula bergerak menuju ke bandar Ketchikan yang meriah. Mereka dapat mengalami sendiri acara yang menarik seperti menyaksikan anjing laut yang bermain-main di Ketchikan Waterfront and Wildlife Cruise; menaiki bot amfibia dalam Ketchikan Duck Tour; dan menerokai Saxman Native Village yang terkenal dengan koleksi Tiang Totem Orang Asli Amerika yang merupakan koleksi Tiang Totem yang terbesar.

Kedua-dua kumpulan ini berasa amat teruja kerana dapat menerokai Skagway; tempat terletaknya bangunan era kerubut emas yang kini dipulihara sebagai sebahagian daripada Klondike Gold Rush National Historical Park. Dijamukan pula dengan pemandangan pergunungan yang beralun, air terjun melata yang terbentuk daripada cairan salji dan landskap terbentang luas sejauh mata memandang.



Sebahagian Pemimpin memilih untuk memulakan perjalanan yang indah dengan menaiki White Pass Scenic Railway, manakala selebihnya menyusuri laluan Alaska White Pass dan Yukon Alpine dengan bas. Perjalanan yang menyajikan pemandangan yang sungguh mempesonakan sebelum mencuba nasib dengan mendulang emas di Alaska 360's Dredge Town, tempat kapal korek emas yang autentik.

Pemimpin juga amat bertuah kerana dapat menyaksikan keajaiban Dawes Glacier iaitu glasier pinggir laut warna kebiruan yang berukuran lebih 600 kaki tinggi. Glasier air pasang surut yang menakjubkan ini merupakan peninggalan bongkah ais yang lebih besar, yang membentuk Endicott Arm Fjord beribu tahun lalu.

Pada lewat petang, kami tiba di Juneau iaitu ibu negeri Alaska dan salah satu bandar yang tercantik di situ. Sebahagian Pemimpin melawat Mendenhall Glacier Visitor Centre & Nugget Falls untuk menikmati pemandangan sungai ais sepanjang tiga belas batu yang berakhir di seberang Tasik Mendenhall. Glasier Mendenhall merupakan salah satu daripada glasier utama yang bersambung dengan Juneau Ice Field dengan keluasan 1,500 batu persegi iaitu peninggalan zaman ais terakhir yang tersergam megah di puncak gunung pinggir laut.

Manakala yang lain memilih untuk menyaksikan ikan paus dan pelayaran hidupan liar yang merupakan peluang seumur hidup yang amat dinanti-nantikan. Peluang menyaksikan mamalia yang unik dan mengagumkan ini menyemburkan air dan menjunam ke dalam habitat semula jadinya berlatarbelakangkan pergunungan atau pesisiran pantai Alaska memberikan kesan emosi yang tidak terperi. Tiada foto mahupun video dapat mengabadikan keindahan sebenar pemandangan luar biasa ini.

Pengembaraan kami berakhir di Juneau dengan bufet makan sepuas-puasnya di Gold Creek Salmon Bake yang dapat mengisi perut yang kelaparan dengan pelbagai hidangan ikan salmon Alaska liar yang baharu ditangkap dan Ketam Dungeness Alaska yang dipanggang dengan enak sekali di atas unggun kayu alder yang beraroma. Menjamu selera di tengah-tengah rimbunan hutan hujan Alaska sambil dihiburkan oleh pemuzik tempatan menjadikan pengalaman kulinari ini benar-benar unik.

Selain lawatan ke pantai di bandar Alaska yang berbeza, kami turut menganjurkan pelbagai aktiviti eksklusif Amway di atas kapal persiaran seperti bermain kasut roda, FlowRider, disko senyap, Royal Bingo dan beberapa aktiviti sukan yang disertai oleh Pemimpin dengan penuh semangat.

Walaupun banyak momen tidak ternilai berlegar-legar dalam memori kami, salah satu sorotan perjalanan yang tidak dapat dilupakan ialah Hari Amway, yang berlangsung di Royal Theater di atas Ovation of the Seas. Hari tersebut dimulakan dengan sesi perniagaan yang turut mengiktiraf secara rasmi pencapaian Pemimpin yang layak untuk ALS 2021 Alaska dan ALS 2020 Sydney, serta Intan yang baharu layak.



Setelah segala formaliti selesai, Pemimpin kembali ke bilik masing-masing untuk bersiap dan sudah tidak sabar untuk menjamu selera di Makan Malam Gala yang menyusul tidak lama kemudian. Acara itu menyaksikan persembahan terbaik Pemimpin dan citarasa fesyen mereka yang hebat bersesuaian dengan tema "Dancing Queens and Kings".

Sambil bergaul dan berkenalan, setiap Pemimpin dapat menikmati hidangan udang karang istimewa lagi terkenal yang diidam-idamkan dalam pelayaran ini dan juga salah satu hidangan utama untuk makan malam. Setiap Pemimpin dihidangkan dengan seekor udang karang yang disediakan khas oleh Amway. Puas dan bertenaga, Pemimpin yang sungguh bergaya kemudiannya menuju ke tempat menari untuk meraikan dan berpesta sepanjang malam. Hari Amway berakhir dengan meriah sekali apabila Pemimpin Berpakaian Terbaik menerima hadiah kerana gaya mereka yang luar biasa.

Untuk menamatkan pengembaraan pelayaran yang luar biasa ini, kami mengakhiri perjalanan dengan lawatan singkat ke Victoria, Kanada. Pemimpin berpeluang untuk membeli-belah saat akhir, membeli cenderahati untuk dijadikan kenang-kenangan yang berharga. Pengalaman yang penuh dengan kenangan manis ini pastinya menjadi inspirasi dan pembakar semangat untuk menyertai pengembaraan ALS yang seterusnya.

Apabila kami merenung kembali pengalaman yang terindah ini, kami bersyukur atas kehadiran penyandang yang begitu ramai untuk menyertai kami. Tidak dinafikan, kehadiran dan persahabatan mereka menjadikan ALS tahun ini benar-benar luar biasa. Kami amat berharap agar dapat melihat wajah-wajah yang dikenali dan juga lebih ramai penyandang baharu menyertai kami apabila kami memulakan satu lagi lembaran baharu pengembaraan ALS yang mengujakan.